Sunday, February 7, 2010

Saidatina Khadijah RA

Contoh Tauladan Isteri terbaik

Nama penuh beliau ialah Khadijah Binti Khuwalid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusay bin Kilab bin Murrah. Dari Qusay bin Kilab bertemu nasab beliau dengan Rasulullah s.a.w. (A.Guillaume,1978:82). Sejak zaman Jahiliah kedudukan Khadijah amat tinggi dengan keturunan yang baik juga keperibadian beliau yang cukup dihormati.

Faktor keturunan,kebijaksanaan,kecantikan dan kekayaan terkumpul pada dirinya segala kelebihan dan kebaikan(Qadariyyah Husin,t.t. :8). Beliau juga adalah seorang pengurus yang berjaya. Ibn Kathir mensifatkan Khadijah adalah seorang yang cukup matang, berpandangan jauh (Ibn Kathir,1971:262). Ini terbukti dari pemilihannya menjadikan Muhammad sebagai suaminya walau pun dia lebih tua dari suaminya itu.

Adalah luar biasa, Khadijah berupaya mengangkat martabat dirinya ketika adat masyarakat jahiliah merendah-rendahkan taraf wanita. Beliau hidup di tengah kemungkaran, tetapi mampu menepis segala gejala buruk itu sehinggakan beliau dikenali sebagai ‘Afifah Tahirah.

Menurut riwayat sejarawan-Ibn al-Athir dan Ibn Hisyam-Khadijah adalah seorang peniagawati yang mengupah kaum lelaki memperniagakan harta dan barangannya. Apabila beliau mendengar nama Muhammad seorang yang dikenali jujur, beramanah, berakhlak mulia, dia menawarkan supaya diperdagangkan hartanya itu ke negeri Syam (Syria) dengan upah yang lebih tinggi .

Muhammad dibantu oleh Maisarah, (budak suruhan Khadijah) . Dalam perniagaan ini Muhammad membawa keuntungan besar. Lebih dari itu Maisarah membawa berita tentang akhlak mulia Muhammad yang cukup dikagumi kepada puannya.
Khadijah menjadi lebih kagum dengan sifat amanah dan keberkatan yang dibawa Muhammad. Dia menawarkan dirinya untuk disunting Muhammad melalui kawannya Nafisah. Lamaran itu diterima oleh Muhammad. Lalu Muhammad meminta supaya bapa-bapa saudaranya menghubungi bapa saudara Khadijah, Umar Ibn Asad melamar Muhammad. Kemudian mereka berkahwin.Sebelwn ini Khadijah sudah dua kali berkahwin iaitu ‘Atiq al-Tamimi dan Abu Halah al-Tamimi(lihat,al-Buti 1999:52).

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku mendapatkan keturunan."


Begitulah Rasulullah saw berkata tentang kepribadian Khadijjah, istrinya. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah yang bermaksud:

Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.

(Surah An-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Tidak banyak fakta sejarah yang secara jelas menulis tentang peranan Khadijah sebagai ibu. Namun ada disebut anaknya dengan Rasulullah seramai tujuh orang. Anak lelaki kesemuanya meninggal iaitu al-Qasim, Tahir dan Tayyib. Hanya anak perempuan yang kekal hidup iaitu Zainab, Ruqayyah, Umm Kalthum dan Fatimah (Abdul Salam Harun,1977:44).

Apa yang difahami dia amat memberikan perhatian berat kepada pendidikan anak-anak perempuan ini. Ibu adalah guru pertama bagi anak muslim. Khadijah mendidik sendiri anak-anaknya bersama Rasulullah. Zainab anak sulung dilatih sejak awal bukan dalam keadaan manja, tetapi lebih cepat matang. Zainab menjadi “ibu kecil” bagi adik-adiknya. Dia ditugas mengawasi adiknya Fatimah, mengisi waktu dengan bermain, apalagi ibunya sudah agak berumur (Binti sl Syati,1975:85).
Pendidikan melalui tauladan menjadi teras bagi Khadijah. Hasil didikannya tidaklah aneh jika anak-anaknya seperti Ruqayyah dan Fatimah mampu bersabar dan mampu pula menghadapi kesulitan hidup.

Kalau mahu belajar apa ertinya cinta,belajarlah bagaimana cintanya Khadijah pada Rasulullah s.a.w,kalau mahu memahami apa itu cinta,belajarlah daripada wanita mulia itu, kalau mahu menikmati kemanisan cinta,belajarlah tentang cinta Khadijah pada suaminya, Rasulullah s.a.w. Kalau mahu mengenal apa itu cinta,kenalilah siapa itu Khadijah.Kalau mahu menyelami cinta, selamilah sucinya cinta yang ada dalam diri Khadijah.

Kalau mahu berkorban demi cinta, belajarlah daripada dia yang sanggup berkorban jiwa dan raganya demi suaminya,demi menegakkan agama Allah dimuka bumi ini.Dia wanita agung,menjadi kesayangan dan kecintaan Nabi Muhammad s.a.w. Wanita utama yang pertama beriman pada Nabi s.a.w. Wanita yang melindungi Nabi dari segala kesulitan, menenangkan Nabi yang dibayangi kegelisahan dan ketakutan saat turunnya wahyu pertama.

Takkan ada tandingan cinta yang lahir dihati manusia lain pada cintanya Khadijah pada Nabi s.a.w.Takkan ada yang mampu menggapai betapa sayangnya Khadijah pada Rasulullah s.a.w.Tak akan mungkin akan lahir sebuah kisah cinta agung selepas kisah cinta ini.Kisah pasangan suci dan agung ini mana mungkin ada duanya..Rasulullah s.a.w yang menjadi penghulu segala nabi,dan isterinya yang menjadi kecintaan baginda.

Satu satu wanita yang telah menerima ucapan salam daripada Allah dan malaikatNya. Mana mungkin akan adanya kisah cinta lain yang mampu mengatasi kisah cinta pasangan ini. Takkan ada perempuan yang lebih baik daripada Khadijah, takkan ada perempuan sesolehah Khadijah,takkan ada wanita yang mencintai suaminya melebihi Khadijah, takkan ada wanita yang sanggup berkorban mengatasi pengorbanan Khadijah pada Nabi Muhammad s.a.w demi sama sama menuju ke jalan Allah

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes